بسم اللّه الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة اللّه وبركاته

SELAMAT DATANG KE PORTAL SEKOLAH KIBLAH

Assalamualaikum wbt.
Sebagai pemula bicara saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberikan ruang dan kesempatan berharga ini untuk saya menyampaikan sepatah dua kata sempena pelancaran laman web baru Kumpulan Pendidikan Kiblah yang mana telah meletakkan semua entiti pendidikan Kiblah di bawah satu payung.

Pelbagai kejayaan telah diraih dalam masa mencecah 30 tahun ini. Pelayaran sebuah bahtera bernama Kiblah yang bermula di Tanjung Kling, Melaka hingga ke Sepang, Selangor telah melalui pelbagai onak duri juga pelbagai kenangan manis yang memberikan seribu pengalaman bermakna buat barisan kepemimpinan Sekolah Kiblah. Pengalaman inilah yang telah mematangkan Sekolah Kiblah serta meletakkan Sekolah Kiblah setanding dengan sekolah-sekolah lain di Malaysia. Kekuatan Sekolah Kiblah yang menerapkan pelbagai ilmu pengetahuan berteraskan AlQuran dan AsSunnah bakal melahirkan pelajar yang diharapkan cemerlang di dunia dan akhirat.

Kemenjadian pelajar yang menjadi agenda utama pihak pengurusan Sekolah Kiblah mengambilkira segenap aspirasi sistem dan juga aspirasi murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. Fokus dan gerak kerja warga Sekolah Kiblah adalah tertumpu kepada kualiti pembelajaran pelajar, kualiti guru dan juga kualiti kepimpinan pengurusan sekolah. Kita yakin, pembelajaran pelajar di sekolah akan lebih berkesan dengan pengajaran berkualiti oleh guru serta dokongan kepimpinan sekolah. Justeru, sifat amanah serta berintegriti perlu ada pada seluruh warga Sekolah Kiblah bagi menjamin pembelajaran para pelajar diberikan keutamaan. Amanah serta integriti yang tinggi dapat menyatukan komitmen setiap warga sekolah ke arah merealisasikan keberhasilan dan kemenjadian pelajar.

Sekolah Kiblah bertekad untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan. Aspek akademik, sahsiah dan nilai yang berteraskan Islam yang sebenar perlu terus diterapkan dalam pendidikan anak-anak. Disamping itu, para guru juga perlu mempersiapkan diri dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.

Akhir kata, marilah kita semua berganding bahu dalam menjayakan visi dan misi Sekolah Kiblah. Semoga bahtera Kiblah ini terus gah menyelusuri gelombang samudera dan sentiasa dalam lindungan serta rahmat Allah swt.
Wassalam.

Berilmu. Berakhlak. Berwawasan

ZURIAH BINTI SEMAN
PENGETUA
Sekolah Kiblah